Sunday, 8 May 2016

Kurangkan Panas Badan Anak Dengan 8 Cara Kilat

Assalamualaikum..


Kurangkan Panas Badan Anak Dengan 8 Cara


Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan anak mudah mendapat demam. Secara amnya demam bermakna sistem imunisasi sedang melawan serangan jangkitan.

Antara penyebab berlakunya demam seperti serangan virus, bakteria, keracunan makanan dan strok haba. Demam melampau boleh menyebabkan sawan. Kebiasaannya jika sistem imun kuat, demam akan hilang dengan sendirinya.

Ibu bapa perlu peka dengan sebarang perubahan dan anak perlu perhatian yang lebih. Pastikan di rumah ada jangka suhu untuk pemeriksaan suhu sendiri. Antara penjagaan khas ialah pastikan anak mendapat cukup air untuk mengelakkan dehidrasi, kuatkan sistem imun, cukup rehat, pengaliran udara yang baik serta makanan yang lebih berzat dan mudah dihadam.

Cara berikut bukan untuk merawat punca demam. Ini panduan untuk mengurangkan suhu, memberi keselesaan dan membantu mempercepatkan proses pemulihan. Jangan berlengah untuk dapatkan rawatan secepat mungkin di hospital berdekatan jika suhu badan anak semakin panas.

1. Penawar Air Kelapa
Air kelapa boleh dijadikan penawar demam. Pastikan kelapa segar dan tidak ditambah ais mahupun gula. Minuman herba lain yang boleh diberi ialah air kembang semangkuk, air rebusan kundur, air bunga chamomile atau air rebusan kurma. Jus gabungan buah dengan sayur juga sangat digalakkan seperti gabungan buah oren, lobak merah dan timun.

2. Khasiat Sup Tulang
Sup tulang bone broth juga berkesan untuk makanan berzat dan berkhasiat. Tulang lembu atau ayam direbus bersama bawang merah, bawang putih, seleri, cuka epal, garam dan rempah sup. Boleh diminum begitu sahaja. Boleh juga dibubuh dalam bubur, nasi atau dicecah dengan roti. Bubur, smoothies, agar-agar dan puding antara makanan yang senang dihadam juga boleh diberikan.

3. Beri Probiotik
Beri anak makan probiotik yang kini mudah didapati di pasaran. Antara makanan yang mengandungi probiotik ialah tempe, dadih, kimchi dan keju.

4. Minyak Yang Sesuai
Minyak yang bagus untuk diambil ketika demam ialah minyak ikan kod , minyak zaitun, minyak kelapa dara dan habbatusauda. Beri mengikut kesesuian umur seperti yang disarankan.

5. Mandi & Mengelap Tubuh
Mandi dengan lebih kerap. Air mandian boleh ditambah garam magnesium flakes untuk melegakan ketegangan otot yang sering terjadi ketika demam. Demahan sejuk atau cold compress boleh dilakukan dengan mengelap badan yang panas dengan air sejuk. Air jaram juga boleh disapu di dahi dan kulit kepala. Antara bahan air jaram ialah bunga raya, beras dan asam jawa. Boleh juga menyapu air bawang merah ke kawasan dada , dahi dan punggung.

6. Rehat Secukupnya
Pastikan anak mendapat rehat dan tidur yang cukup. Ketika demam, tubuh menggunakan banyak tenaga untuk proses penyembuhan. Sebaiknya berehat di rumah dan elak lakukan aktiviti luar yang banyak menggunakan tenaga.

7. Aliran Udara Yang Baik
Perlu pastikan peredaran udara yang baik. Pasangkan kipas atau penyaman udara mengikut keselesaan anak. Pakai pakaian nipis dan selesa. Fabrik kapas dan linen sangat sesuai. Ada masanya dalam keadaan kebah, anak perlu diselimutkan supaya selesa.

8. Bantuan Aromaterapi
Penggunaan aromaterapi seperti peppermint, eucalyptus, chamomile dan serai wangi juga boleh membantu. Ada yang boleh ditambah dalam air mandian, diurut dan disebarkan di udara dengan teknik semburan atau pembakaran dengan diffuser.

2 comments: