Sunday, 13 December 2015

Ringan tulang bantu isteri berpantang



Bagi wanita hamil antara soalan yang sering diajukan, “Siapa yang menjaga ketika dalam pantang nanti? Berpantang di mana? Rumah sendiri atau kampung?”

Kebiasaannya untuk anak pertama, ramai memilih untuk berpantang di kampung disebabkan ibu atau mentua yang dapat menjaga sepenuhnya. Namun bagi anak kedua atau ketiga, ramai wanita mengambil keputusan berpantang sendiri disebabkan anak yang sudah bersekolah dan tidak mahu menyusahkan ibu yang sudah tua.

Untuk itu, suami seharusnya mencuba untuk berada di sisi isteri walaupun mereka bekerja. Banyak perkara yang harus dilakukan sepanjang isteri berpantang kerana pada ketika ini, emosi isteri agak kurang stabil akibat beberapa perubahan pada diri dan sekeliling mereka.

Ini diakui perunding keluarga bertauliah, Prof Dr Rozieta Shaary yang menyatakan semasa isteri dalam pantang, suami perlu kuat semangat. Ini kerana ketika ini isteri sangat memerlukan suami untuk menjaganya dengan baik. Bukan sekadar fizikal, tetapi termasuk mental dan emosi.

Ada ibu yang boleh meroyan kerana sangat letih. Maklumlah, rutin harian bertukar. Tidur malam terganggu dan ibu tidak mendapat rehat secukupnya.

“Itulah sebab ada ibu yang dalam pantang sanggup mencampak bayinya kerana pada pandangan si ibu yang terlampau penat pada ketika itu, bayi itu kain buruk.

“Justeru, apabila suami prihatin menjaga isterinya, emosi isteri akan stabil kerana dia merasakan dia amat dikasihi. Ini memberi kestabilan kepada emosi anak dan satu kepercayaan yang sangat penting akan terwujud di dalam diri anak itu ‘aku dikasihi’. Ini kerana tenaga itu terpancar daripada ibu dan meresap kepada anak tanpa sedar.

Anak-anak yang merasai dia dikasihi akan mengasihi seterusnya akan mempu­nyai ketenangan dalam emosinya. Ketenangan emosi memberi kekuatan pemikiran dan ini sangat penting untuk kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.

Terdapat pelbagai panduan yang boleh diikuti suami bagi menjaga isteri sepanjang tempoh berpantang. Antaranya:

- Bangun awal
Ketika dalam tempoh berpantang suami harus bangun lebih awal daripada isteri. Jangan pula mengharapkan isteri mengejutkan anda dari tidur. Banyak perkara perlu disediakan awal seperti air mandian isteri. Rebuskan daun kayu untuk air mandian isteri. Ini kerana pada minggu pertama bersalin, isteri digalak mandi air rebusan daun ini untuk kesegaran badan. Jika tiada akar kayu atau daun, cukup sekadar menyediakan air suam untuk mandian.

- Sedia sarapan
Sediakan sarapan untuk isteri seawal mungkin, sebaiknya lepas solat Subuh. Biasanya ibu dalam pantang hanya makan roti bakar atau roti kosong bersama secawan minuman coklat.

- Mandikan bayi
Cuba belajar untuk mandikan bayi anda walaupun bayi anda masih lembut badannya. Kalau anda tiada kemahiran mandikan bayi, sekurang-kurangnya bantulah isteri, ibu atau mentua menyediakan air mandian. Bayi biasanya dimandikan dengan air suam untuk mengelak hipotermia. Pada peringkat awal, kawalan suhu badan bayi masih lemah.

- Buat semua urusan rumah tangga
Sekiranya kelahiran ini bukan kelahiran yang pertama (maksudnya sudah ada satu atau dua anak), pastikan semua urusan anak-anak anda selesaikan. Janganlah mengharap bantuan isteri yang baru melahirkan anak untuk menjaga urusan yang lain. Biarkan isteri berehat sepenuhnya. Sebaliknya anda uruskan makan minum, mandi, menyediakan pakaian sekolah sehingga menidurkan anak-anak yang lain.

- Pastikan isteri selesa
Kadang-kadang urusan remeh seperti menyediakan keperluan lain seperti sebotol air minuman berserta gelas, memasukkan tuala dalam bakul baju kotor, menyediakan pakaian bayi, majalah dan buku kegemaran isteri tidak dipedulikan suami. Sekarang anda sudah tahu ia sangat penting bagi isteri.
Sentiasa berada di sisi isteri untuk menghulurkan apa saja bantuan. Jangan sampai isteri terpaksa menjerit-jerit memanggil untuk mendapatkan bantuan sedangkan suami tertidur di depan televisyen.

- Pastikan persekitaran bersih dan kemas
Sebelum ke tempat kerja, pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas. Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh. Jangan mengharap isteri untuk membasuh dan menyidai pakaian.
Dalam tempoh berpantang, yakinkan isteri tugasan membasuh, menjemur dan mengangkat pakaian boleh dilakukan oleh anda. Setakat melipat, isteri boleh melakukannya kerana ia termasuk dalam kategori kerja ringan.

- Tunjukkan yang anda bersemangat
Sungguhpun anda letih, jangan ditunjukkan di depan isteri kerana isteri perlukan semangat untuk pulih daripada kesan melahirkan anak. Jika suami tiada semangat, sentiasa lesu dan lemah, isteri akan rasa sedih dan mungkin menggalakkan terjadinya kemurungan.

- Sentiasa ucapkan kata-kata manis kepadanya
Ya, mungkin anda juga penat melayan makan minum isteri dan juga keperluan anak yang lain. Tetapi jangan sehingga anda bermasam muka atau melemparkan kata-kata yang tidak manis untuk isteri. Bayang–kan apa yang anda lalui tidak selama-lamanya kerana ia akan berakhir sedikit masa lagi.

- Bangun tengah malam ketika isteri menyusukan bayi
Jarang suami yang bersama-sama isteri ketika isteri menyusukan bayi mereka. Apa kata sebagai tanda anda sangat menghargainya, buatkan secawan coklat panas ketika isteri menyusukan bayi. Ini akan membuatkan isteri bertambah sayang dan menghormati anda sebagai suami.

- Berdoa semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada anda, bayi dan isteri
Sentiasa berdoa semoga anda diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga isteri dan bayi anda. Sekiranya anda kurang sihat, ia akan turut menjejaskan tumpuan anda untuk membantu isteri. Pastikan anda menjaga kesihatan dengan mengambil air suam, makan makanan berkhasiat dan bersenam.

2 comments:

  1. KEBANYAKAN SUAMI SEKARANG RAJIN MEMBANTU DI DAPUR APALAGI KALA ISTERI BERPANTANG.....

    ReplyDelete